MIC Tuntut 2 Bilion Unit Saham PNB – Subramaniam

LUMPUR – Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya menerusi Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) telah menuntut sebanyak dua bilion unit saham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Katanya, ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat India supaya berjimat untuk jangka masa panjang dengan pulangan faedah yang menjamin masa depan.

Kata beliau, dua bilion unit saham yang bertujuan untuk pelaburan dan penyimpanan masa depan itu dijangka memanfaatkan 100,000 keluarga India di negara ini untuk lima tahun akan datang.

“Inisiatif pertama dengan jumlah sebesar ini adalah menyasarkan golongan bawahan golongan isi rumah berpendapatan terendah 20 peratus daripada kelompok B40 di negara ini dengan peluang penyimpanan dengan sejumlah subsidi untuk memastikan penyertaan semua.

“Secara prinsip PNB sudah bersetuju dengan cadangan yang kita kemukakan itu bagaimanapun perbicangan secara teliti diadakan tentang cara perlaksanaannya kelak.

“Dalam pada itu, peluang ini juga dibuka kepada segenap lapisan masyarakat India golongan pertengahan lain,” katanya dalam sidang media di sini petang tadi.

Terdahulu Subramaniam hadir untuk mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Komuniti Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India di Jabatan SEDIC.

Tambah beliau, setiap tahun, pihaknya akan menyasarkan 20,000 keluarga India B20 untuk berpeluang menyertai pelaburan dan penyimpanan tersebut.

Menteri Kesihatan itu juga menjelaskan ia merupakan kali pertama pelaburan unit saham berjumlah besar khusus untuk masyarakat India diusahakan di bawah Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India.

Walaupun sebelum ini kerajaan menerusi PNB menyediakan banyak rancangan pelaburan amanah saham kepada bumiputera dan dibuka untuk masyarakat lain.

“Tetapi ini kali pertama kita cadangan khusus untuk masyarakat India sahaja dengan jumlah pelaburan sebanyak dua bilion unit.

“Ketika ini kita perlu berbincang dengan PNB untuk memuktamadkan mekanisme melibatkan operasi dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bersetuju.

“Saya berharap sejumlah peruntukan disediakan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini untuk memulakan inisiatif ini,” tegasnya lagi.

Cadangan mewujudkan pelaburan ini adalah dari Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan satu pelaburan dan penyimpanan khusus untuk masyarakat India dalam pelan Induk yang diperkenalkan beliau pada 23 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE