Malaysia Seri Lawan Hong Kong

MELAKA: Malaysia gagal menepati sasaran meraih tiga mata selepas sekadar seri 1-1 berdepan Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Begitupun, perlawanan dipenuhi rasa tidak puas hati pengurusan pasukan Malaysia selepas dicemari dengan dua layangan kad merah serta beberapa keputusan kontroversi pengadil dari Australia, Christopher Beath.

Walaupun Hong Kong dibarisi pemain berfizikal lebih tinggi berstatus naturalisasi, Harimau Malaya melepasi saingan getir pelawat pada babak pertama, dengan anak buah Velo Ningada menghidu peluang jaringan awal pada minit ketujuh tetapi diselamatkan penjaga gol Yapp Hung Fai.

Malah kapten pasukan Safiq Rahim hampir meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-23, namun sepakan percumanya sedikit tersasar ke kanan gawang lawan, selain sepakan kencang Darren Lok ditepis dan Amirulhadi Zainal sedikit melepasi palang.

Penjaga gol negara Mohd Hafizul Mohd Hakim turut disibuk di depan gawang sendiri dengan menafikan rembatan Alexander Oluwatayo pada minit ke-30 dan 42 yang hampir meletakkan pelawat di depan.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya masih cuba mencari gol menerusi Francisco Insa Bohgues pada minit ke-48 manakala tolakan Baddrol Bakhtiar turut terlambat menyambar bola lintang.

Namun Hong Kong berada di depan pada minit ke-53 apabila menyambar hantaran lintang Jaimes Mckee.

Gol penyamaan Syazwan Zainon pada minit ke-56 terus menghidupkan peluang Malaysia untuk mencari kemenangan selepas itu, malah beberapa pertukaran taktikal yang dilakukan Ningada tidak menjadi.

Penghujung babak permainan bertukar tegang apabila Malaysia terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Rizal Ghazali dilayangkan kad merah pada minit-89, disusuli Aidil Zafuan yang membantah keputusan Beath memberikan sepakan penalti kepada Hong Kong.

Hafizul layak digelar wira dalam perlawanan itu apabila menampan sepakan penalti Leonardo, sekali gus memastikan satu mata penting di laman sendiri.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE