Jentera BN Kena Berani Jawab Fitnah Puak-Puak Pembangkang

KUALA LUMPUR: Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO disyor mengambil langkah proaktif menangani ketakutan menjawab fitnah yang dilemparkan kepada kepemimpinan parti di media sosial.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata jentera parti tidak perlu merendah diri dalam usaha menepis dakwaan, tuduhan tidak benar dan sentimen kebencian yang ditanam dalam kempen pembangkang di media sosial.

Beliau berkata, rakyat hari ini mempunyai akses kepada internet dan media sosial, justeru pembangkang menggunakan kaedah itu untuk ‘meracun’ fikiran rakyat.

“Hakikatnya, parti BN mempunyai barisan kepimpinan yang lebih kedepan, padu, sentiasa prihatin dan mengutamakan kebajikan rakyat.

“Justeru, kita kena atasi kempen kebencian pembangkang dengan meningkatkan keyakinan psikologi serta ‘winning mentaliti’ menangkis semua tuduhan tidak benar.

“Kita kena berani tampil ke hadapan dalam setiap ceramah pelbagai hala, berbincang dan menjawab secara spontan semua isu yang menimbulkan keraguan rakyat dalam semua program kita.

“Ini (menjawab) adalah lambang ketegasan kita kerana kita berdepan fitnah dan serangan peribadi,” katanya di sini, malam ini.

Beliau menghadiri Dialog Perjuangan4all di Parlimen Wangsa Maju anjuran Penerangan UMNO Malaysia.

Ahli panel lain termasuk Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Exco Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan.

Dialog berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara di dewan tertutup atau menggunakan unit bergerak di kawasan terbuka bermula dengan 10 lokasi terawal antaranya, Sepang dan Sungai Besar.

Dialog itu dijangka berlangsung setiap minggu dengan sasaran 80 hingga 100 siri dialog berkonsep yang dikawal, diseragamkan dan mempunyai elemen penjenamaan UMNO.

Mengulas lanjut, Annuar berkata dialog secara townhall adalah pendekatan baharu memberikan penjelasan kepada masyarakat umum dan akar umbi kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan dasar pentadbiran kerajaan BN.

“Dialog ini untuk kita rasa denyut nadi persoalan daripada khalayak umum. Mereka (rakyat) boleh mengemukakan soalan dan pandangan mereka dalam dialog secara bebas dan terbuka.

“Malam ini, saya jangkakan aspirasi orang muda dan wanita yang mewakili 50 peratus pengundi adalah tanggapan orang muda bukan (tidak menyokong) dengan kerajaan.

“Saya tegaskan realitinya bukan begitu kerana orang muda bestari dan jauhari. Mereka mahu kerajaan yang boleh menerima kritikan, boleh ditegur dan menerima pandangan orang muda.

“Orang muda saham terbesar negara. Mereka berpandangan kritis tetapi mereka sentiasa menyokong kerajaan dan tidak akan sesekali menyerahkan kerajaan kepada parti yang mereka tidak yakin,” katanya.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE