Ibu Mangsa Maut Kebakaran Tahfiz Reda Pemergian Anaknya

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — “Kali terakhir kami bersama adalah pada Aidiladha yang lepas,” luah ibu kepada Muhammad Zattullah Roslan, 11, mangsa yang maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi ini.

Kamizan Yusof, 48, berkata beliau mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang rakannya yang tinggal berhampiran pusat tahfiz berkenaan.

“Saya terima panggilan kira-kira 7 pagi tadi yang meminta saya datang segera kerana pusat tahfiz anak saya belajar terbakar. Waktu itu saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Pada masa itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan sedihnya memikirkan nasib adik (Muhammad Zattullah) dan rakan-rakannya,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian beliau dimaklumkan anaknya merupakan seorang daripada mangsa yang tidak dapat diselamatkan.

“Adik adalah anak bongsu daripada dua beradik. Dia sangat manja dengan kami. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun kehilangannya amat dirasai,” katanya hiba.

Setakat 10.30 pagi ini, seramai 22 pelajar dan dua guru dilaporkan maut dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan kira-kira 5.15 pagi yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu.

Turut cedera ialah enam pelajar dan seorang orang awam.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE