Chua: Belum Sahih Tukar CEO Proton

SEGAMAT, 14 Sept ― Pelantikan warga asing sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Proton belum muktamad dan tidak perlu dipolitikkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong menambah, yang lebih penting dasarnya untuk mengembangkan syarikat itu.

Beliau mengulas desas-desus pelantikan timbalan pengurus besar Dongfeng Honda Engine Co, Li Chunrong, sebagai CEO baru Proton, lapor Sinar Harian.

“Selagi polisi yang diterapkan mampu memberi manfaat kepada Proton dan vendor-vendornya, isu siapa yang memegang jawatan tersebut tidak penting kerana ia tentu mampu memberi faedah kepada perkembangan ekonomi negara.

“Pelantikan warga negara luar sebagai CEO syarikat berkaitan kerajaan di negara ini bukan perkara baru, kerana sebelum ini Malaysia Airlines Berhad juga melantik Christoph R Mueller sebagai CEO,” katanya.

Beliau berkata kejayaan Zhejiang Geely, pelabur baru Proton, meningkat keuntungan Volvo apabila diambil alih diharap berlaku pada Proton.

“Jadi tidak timbul isu Malaysia akan tergadai kepada China dan sehingga kini belum ada keputusan untuk mengambil Li Chunrong sebagai CEO Proton seperti yang didakwa oleh sesetangah pihak,” katanya.

Li dikatakan dibawa menyertai Geely untuk menyelia operasi Proton. Geely memegang saham Proton sebanyak 49.9 peratus sejak awal tahun ini.-MALAY MAIL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE