Bibi Sediakan Kejutan Untuk Pemain Piala Presiden

KOTA BHARU 19 Sept. – Kurang 48 jam selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengorak langkah dengan membawa khabar gembira untuk barisan pemain Piala Presiden, iaitu menyelesaikan tunggakan dua bulan gaji mereka.

Perkara itu diumumkan beliau selepas mempengerusikan mesyuarat pertama barisan kepemimpinan baharu Kafa, di sini yang berlangsung kira-kira tiga jam malam tadi.

Menurut Bibi Ramjani, beliau akan turun menemui para pemain dan menyerahkan sendiri gaji tersebut kepada mereka menjelang tengah hari ini.

Katanya, selain membela nasib mereka, langkah itu diharap dapat memberi suntikan semangat kepada para pemain yang bakal beraksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan suku akhir Piala Presiden di laman sendiri pada 21 September depan.

“Dalam mesyuarat malam ini, saya berjaya mendapatkan sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan dan meneliti segenap aspek bagi membolehkan Kafa membut perancangan rapi.

“Selepas berbincang, kita sudah buat senarai perkara yang perlu diberi keutamaan akan disegerakan terutama tunggakan gaji pemain,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Bibi Ramjani menafikan kononnya berlaku pergolakan dalam barisan kepemimpinan, termasuk khabar angin mengatakan dua Naib Presiden yang baru memenangi jawatan itu, Datuk Aizudin Mohd. Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim bakal meletakkan jawatan.

“Perkara itu tidak benar, kedua-dua Naib Presiden dan semua ahli pengurusan memberikan komitmen terbaik terhadap persatuan.

“Anda boleh lihat kehadiran yang cukup baik dalam mesyuarat pada malam ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE