4 Didakwa Ahli Abu Sayyaf, Sorok Maklumat

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Empat daripada 19 suspek yang cuba melakukan se­rang­an ketika upacara penutup Sukan SEA 2017 dan perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka, bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini hari ini.

Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan me­nyem­bunyikan maklumat berkaitan kum­pulan berkenaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada perancang utama cubaan serangan itu, Hajar Abdul Mubin, 25; dan tiga pengikutnya, Ahmad Omar, 52; Jaffar Ahmad, 26; dan warga Filipina, Abdul Sya­mir Dabilin, 25, selepas pertuduh­an dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Hajar didakwa sebagai ahli pengganas Abu Sayyaf di sebuah premis di Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras, Hulu Langat, di sini antara 2010 dan 30 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad, Jaffar dan Abdul Syamir didakwa dengan sengaja menyembunyikan sebarang maklumat berhubung kesalahan itu walhal mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat itu di sebuah premis lain di lokasi sama antara 2008 dan 30 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini bagi sebutan semula sementara menunggu arahan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Difahamkan, 12 suspek yang lain masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan dan tiga lagi akan ditahan semula.

Sebelum ini, media melaporkan, 19 militan ditahan setelah merancang untuk menyerang upacara tersebut. Mereka yang terdiri daripada lapan warga tempatan dan 11 warga asing ditangkap sepasukan anggota polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Unit Tindakan Khas Bukit Aman.

Perancang utama serangan itu merupakan anggota kumpul­an pengganas Abu Sayyaf dikatakan telah menyusup masuk ke Sandakan, Sabah sebelum ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.-Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE