Zulfadli Kini Lebih Bersedia

PEMAIN perseorangan profesional negara, Zulfadli Zulkifli. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PEMAIN perseorangan profesional negara, Zulfadli Zulkifli. – Foto Hasriyasyah Sabudin

GLASGOW, Scotland: Pemain perseorangan profesional negara, Zulfadli Zulkifli menyifatkan dirinya kini lebih matang apabila membuat penampilan kedua pada Kejohanan Badminton Dunia di Emirates Arena, Glasgow yang akan bermula, esok.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu berkata pengalaman beraksi kali pertama di Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta memberi banyak pengajaran dalam kerjayanya dan itu membuatkan dia lebih bersedia dalam persiapan menghadapi saingan kali ini.

“Saya fikir ini adalah persiapan terbaik saya selama tiga minggu bagi menghadapi Kejohanan Dunia. Saya sedar ia tidak mudah tetapi saya akan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Emirates Arena di sini, hari ini.

Pada penampilannya di Jakarta, Zulfadli melakar kejutan apabila melangkah sehingga pusingan ketiga dan dia menewaskan pemain pilihan dari Taiwan, Chou Tien Chen di pusingan pertama.

Kali ini, pemain berusia 24 tahun itu turut mengintai peluang untuk melakukan perkara yang sama di Glasgow.

“Kalau diikutkan situasi sekarang dan 2015 adalah berbeza. Namun, pemain yang beraksi lebih kurang sama.

“Syukur pada penampilan pertama di Jakarta saya berjaya melangkah sehingga pusingan 16 terbaik dan kali ini saya akan cuba sekali lagi. Jika ada rezeki, mungkin saya boleh pergi jauh lagi,” katanya.

Zulfadli akan membuka tirai saingan menentang pemain Ukraine, Artem Pochtarov, esok dan jika menang, dia dijangka bertemu pilihan ke-11 dari Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk.

Pilihan pertama dari Korea Selatan, Son Wan Ho menantinya jika mara ke pusingan ketiga.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita profesional negara, Yap Rui Chen turut memulakan aksi esok menentang pemain Australia, Wendy Chen.

Pemain beregu campuran profesional negara, K Yogendran yang berpasangan dengan Prajakta Sawant dari India akan bertemu gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE