5,000 Kecewa Tiket Bola Sepak Final Malaysia Lawan Thailand Habis

SHAH ALAM: Kira-kira 5,000 penyokong pasukan Malaysia pulang hampa apabila tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 habis dijual hari ini.

Tiket bagi pasukan Malaysia habis dijual di Stadium Shah Alam di sini, selaku venue perlawanan manakala tiket pasukan Thailand yang dijual di Stadium Malawati turut habis.

Difahamkan, sebanyak 45,000 tiket dijual kepada penyokong Malaysia manakala lebih 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Thailand.

Bagi Mohd Syakir Syazwan Saharudin, 15, beliau yang mula beratur seawal pukul 7 pagi berasa amat kecewa kerana tidak dapat merasai kehangatan perlawanan akhir secara langsung.

“Saya sedih sebab hanya nak beli dua tiket saja tapi tak dapat. Beratur hampir satu kilometer, saya rasa nak pengsan sebab hari cuaca panas dan sempat makan roti saja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Shah Alam.

Mohd Kamal Mohd Nizam, 20, pula menyifatkan insiden rempuhan oleh penyokong lain semasa kaunter tiket baru dibuka sebagai sikap pentingkan diri.

Katanya, semua pembeli sepatutnya menurut arahan pihak pengurusan bagi mengelakkan pihak yang beratur lebih enam jam tidak dapat membuat pembelian.

“Rempuhan itulah menyebabkan 20 kaunter yang dibuka hanya tinggal 10 kaunter saja. Ini melambatkan proses pembelian menyebabkan kami terpaksa beratur sangat lama. Saya amat marah,” katanya.

Nur Ainaa Husna Mohd Rasid, 18, pula berkata jika tiket dijual secara dalam talian, ia dapat mengelakkan orang ramai terpaksa berbaris seawal pukul 3 pagi,” katanya.

Sebanyak 20 kaunter tiket di Pintu A dan B Stadium Shah Alam dibuka mulai pukul 10.30 pagi dan kesemua tiket habis dijual pada 5.40 petang.

Berlaku sedikit kekecohan gara-gara segelintir penyokong merempuh pagar penghadang namun keadaan tersebut dikawal oleh pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE