Warga Indonesia Dihukum Penjara Lapan Tahun

KOTA BHARU – Dua lelaki warga Indonesia yang juga anggota Geng Wani dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan di mahkamah sesyen, di sini, semalam, kerana dua kes rompakan bersenjata.

Hukuman terhadap Ade Syamsuddin, 31, dan Taufik, 27, masing-masing berasal dari Palembang, Indonesia itu diputuskan Hakim, Nazri Ismail.

Mereka mengaku salah atas dakwaan pada tuduhan pertama bersama-sama merompak secara berkumpulan beg tangan Zarinah Zainal Abidin, 57, yang mengandungi tiga telefon bimbit, dokumen peribadi serta wang tunai RM15,000 di tempat letak kereta belakang Maybank Kubang Kerian, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 18 April 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hamdan Yaacob, 70, dengan melarikan beg silang yang diletakkan di bahagian kaki penumpang kiri di Bank Islam Jalan Mahmod, pada jam 3 petang, 26 April 2017.

Kedua-dua dakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahan selain perlu menyara keluarga namun, Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kerugian dialami mangsa.

Nazri kemudian menjatuhkan hukuman lapan tahun dengan dua sebatan bagi setiap kesalahan itu dan mengarahkan hukuman penjara terbabit berjalan serentak.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua orang termasuk ketua kumpulan Geng Wani, Harwani, 47, maut ditembak polis di Jalan Salor Baru di sini, pada 30 Mei lalu, sekali gus menguburkan kegiatan penjenayah yang berasal dari Palembang, Indonesia terbabit.

Kumpulan itu dipercayai terbabit dengan lapan kes samun melibatkan kerugian RM400,000.

Modus operandi kumpulan itu adalah meletakkan seorang di dalam bank untuk menjadi pemerhati pelanggan yang mengeluarkan duit dalam kuantiti banyak, sementara baki yang lain bersedia menyamun di kawasan sunyi di luar bank.-SINAR ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE