Walaupun Kudrat Lemah Beliau Masih Setia Anyam Tikar Mengkuang

JAKAR – Biarpun kudratnya kian terhalang dek kerana usia, namun ia tidak melemahkan semangat seorang warga emas di sini untuk terus menganyam tikar mengkuang bagi mengekalkan cara hidup tradisional budaya Melayu.

Malah kemahiran diwarisi Rakiah Sulaiman, 62, daripada Allahyarham neneknya, Lijah Merah, ketika berusia 16 tahun turut memberikannya pendapatan sampingan setelah tikar mengkuang hasil anyamannya sentiasa mendapat permintaan khususnya dalam kalangan komuniti setempat.

Katanya, teknik pembuatan tikar mengkuang yang agak rumit menyebabkan ia tidak lagi menjadi pilihan golongan anak muda untuk mempelajari anyaman tradisional itu.

Katanya, cara pembuatannya bermula dengan mencari daun mengkuang, dekat Kampung Banggol Nyor.

“Masa ambil daun, habis tangan makcik luka dan ada kalanya berdarah sebab kena duri.

“Untuk elak lebih banyak luka, makcik akan junjung daun mengkuang dan balik ke rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jakar, semalam.

Ujarnya, setiap duri pada daun mengkuang itu akan dibuang sebelum diraut.

“Teknik itu dibuat untuk lembutkan daun sebelum ia dipotong mengikut saiz yang dikehendaki.

“Daun mengkuang itu kemudiannya akan dijemur selama dua jam sebelum dianyam menjadi tikar,” katanya.

Tambah Rakiah, anyaman mengkuang perlu dibuat dengan teliti dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Makcik tak lokek ilmu, kalau ada yang belajar, makcik boleh ajarkan, tapi tak ramai yang sanggup,” ujar warga emas itu.

Katanya, terdapat dua jenis tikar mengkuang yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan iaitu tikar bali dan tikar lapah.

“Anyaman tikar bali yang berwarna-warni lebih menarik, sebab itulah ia mampu dijual dengan harga RM40 hingga RM50 manakala tikar lapah (tanpa warna) dijual sekitar RM7 hingga RM10.

“Ketika 1980-an lalu, walaupun teknik pembuatannya agak rumit, namun makcik dan arwah nenek jual tikar ini dengan harga 50sen sahaja,” katanya.-SINAR ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Kerajaan Melaka Bantah Pengajuran Jerrusalem’s Jubilee

  • TERKINI

  • Pos Popular

  • Random Posts

  • Meta

  • Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE