Unisel Tutup Kalau PTPTN Tak Tolong, Kata Menteri

MENTERI Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata Universiti Selangor (Unisel) di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor pasti sudah ditutup jika tidak menerima bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau berkata negeri terkaya di Malaysia, Selangor sepatutnya menawarkan pendidikan percuma kepada universiti yang ditadbirnya itu terlebih dulu.
“Kalau PTPTN tak tolong dah tutup Unisel. Jangan dengar cakap pembangkang ini. Mereka cakap sebab nak api-apikan pelajar kita. Dia (pembangkang) pun tak boleh buat.
“Unisel ini kalau saya tidak arahkan dapat (bantuan) PTPTN, tutup,” katanya kepada kira-kira 200 pelajar yang hadir di Bengkel Latihan dan Simulasi Perbahasan Program Parlimen Mahasiswa 2017 di Seri Kembangan, Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama pelajar yang bertanyakan mengenai biasiswa pendidikan universiti.
Terdahulu, Idris berkata universiti awam di Malaysia merupakan antara universiti yang menawarkan yuran pendaftaran termurah di dunia, sambil memetik Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) menawarkan yuran sekitar RM400 per semester, iaitu lebih murah yuran tadika cucunya.
Beliau berkata wakil rakyat pembangkang pernah mempertikaikan mengapa negara maju seperti Jerman dan negara Scandinavian mampu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya, tetapi tidak di Malaysia.
“Saya tanya mereka berapa cukai negara Scandinavian dan Jerman? Mereka tidak boleh jawab,” katanya.
Idris berkata ini kerana negara itu membayar cukai pendapatan sebanyak 50-60%, manakala Malaysia hanya membayar sekitar 20%.
Beberapa tahun lalu, permohonan pelajar baharu Unisel pernah dibekukan untuk mendapat pinjaman pendidikan dari agensi itu.
Pembekuan dilakukan tanpa pekeliling hitam putih oleh pihak PTPTN.
Unisel merupakan institusi swasta di bawah kerajaan negeri Selangor yang ditubuhkan pada Ogos 1999. Ia mempunyai dua cawangan iaitu di Shah Alam dan Bestari Jaya, Selangor.
Selain Unisel, Selangor turut menyelia Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Kolej Antarabangsa Industri Pendidikan Negeri Selangor (Inpens). – 16 Julai, 2017.-Malaysian Insight

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Kerajaan Melaka Bantah Pengajuran Jerrusalem’s Jubilee

  • TERKINI

  • Pos Popular

  • Random Posts

  • Meta

  • Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE