Nasab Anak Luar Nikah: JPN Kekalkan Peraturan Bin, Binti Abdullah

BANGI, 5 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengekalkan peraturan sedia ada berhubung penasaban anak luar nikah atau anak tak sah taraf orang Islam. Ini bermakna kanak-kanak yang dilahirkan tanpa nikah, akan tetap dibinkan atau dibintikan Abdulah atau lain-lain nama ‘Asma’ al-Husna’ berpangkalkan Abdul.

Serentak itu juga, JPN hari ini, memaklumkan bahawa jabatan itu tetap mematuhi dan bertindak selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa mengikut undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak itu lahir kurang enam bulan qamariah daripada tarih perkahwinan ibu bapa.

“Oleh itu, tindakan yang dilakukan oleh JPN adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. “Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2017 yang memihak kepada pemohon seperti dilaporkan oleh media, JPN melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

“Sehubungan dengan itu, pelaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada. Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi,” katanya. Beliau membuat kenyataan itu sebagai menjelaskan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes pendaftaran kanak-kanak orang Islam mengikut Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, yang memutuskan mana-mana kanak-kanak yang dikandung ketika luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.-ISMAWEB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE