Naib Ketua Pemuda Amanah Didakwa Sebabkan Kegusaran Awam

PUTRAJAYA, 18 Julai: Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyebabkan kegusaran awam di bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mei lepas.

Mohd Shazni Munir, 30, didakwa menyebabkan kegusaran itu dengan merantai serta mengunci pagar di hadapan pintu utama bangunan SPR dan tindakannya itu telah menghalang kakitangan di bangunan tersebut daripada menggunakan pintu berkenaan.

Bapa kepada dua cahaya mata itu dituduh melakukan perbuatan itu di pintu utama Bangunan SPR, Presint 2, Putrajaya, pukul 11 pagi pada 23 Mei 2017 mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM400.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman membenarkan Mohd Shazni Munir diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan menawarkan jaminan RM5,000 bagaimanapun peguam Syahredzan Johan memohon jumlah jaminan yang rendah antara RM500 hingga RM800 kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang proses siasatan.

“Sekiranya mengenakan jumlah jaminan yang tinggi ia akan bersifat hukuman kerana jumlah denda bagi kesalahan ini hanyalah RM400 sahaja,” katanya.–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Kerajaan Melaka Bantah Pengajuran Jerrusalem’s Jubilee

  • TERKINI

  • Pos Popular

  • Random Posts

  • Meta

  • Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE