MRT Titik Permulaan Lebih Banyak Projek Infra-rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek ‘infra-rakyat’ di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelbagai lagi projek akan dilaksanakan termasuk MRT kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT3 Bandar Utama-Johan Setia; kereta api ke Pantai Timur; Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura; serta menaik taraf sistem monorail dan KTM.

“Ini semua akan dilaksanakan pihak kerajaan, apatah lagi apabila MRT3 atau MRT circle line siap, bererti menjelang tahun 2027 nanti, kita akan menyaksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita.

“Berdasarkan rekod prestasi, kita (kerajaan) akan dapat memenuhi objektif ini,” katanya ketika merasmikan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen bawah tanah, Tun Razak Exchange di sini Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.

“Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalu lintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya.

“Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila keadaan hujan,” tambahnya.

Katanya, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekaligus dapat memberikan manfaat kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan kos perjalanan ke sesuatu tempat, meningkatkan produktiviti dan semangat kerja selain membantu mengurangkan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata projek MRT Laluan SBK berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada hujung bulan ini selain menjimatkan sejumlah RM2 bilion kepada RM21 bilion daripada sasaran awal kos projek sebanyak RM23 bilion.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE