Kami Masih Pembangkang, Kata Naib Presiden PAS

PAS masih parti pembangkang walaupun ia akan menentang bekas sekutunya pada pilihan raya umum akan datang, kerana ia akan terus melawan Umno, kata naib presidennya Idris Ahmad hari ini.

Idris berkata mereka yang menuduh PAS bekerjasama dengan Umno, perlu ingat yang lawan utama parti itu masih Umno.

“Apa mereka kata tidak betul. Terutama sekali apa dikatakan rakan kami yang sudah kehabisan idea. Dalam ceramah mereka kata PAS hendak sertai Umno.

“Pilihan raya akan datang ini amat penting untuk PAS, bukan kerana kami takut bertanding melawan Umno atau Pakatan Harapan.

“Ia kerana ini kali pertama kami akan melihat pembangkang melawan pembangkang,” katanya selepas pelancaran jentera pilihan raya Permatang Pauh di Kubang Semang hari ini.

PAS dituduh menjalinkan kerjasama dengan Umno, termasuk menerima “dedak” daripada Barisan Nasional (BN) sejak meninggalkan Pakatan Rakyat.

Idris yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang berkata tidak kira di mana PAS akan bertanding – sama ada Permatang Pauh, Kepala Batas, Balik Pulau atau kerusi lain – lawannya tetap Umno.

“Jadi bagaimana anda boleh kata kami di pihak BN? Cari benda lain nak cakap dalam cubaan anda membunuh karier politik kami,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengkritik yang PAS melawan BN di setiap pilihan raya umum kecuali pada 1974 ketika parti Islam itu bersama dalam gabungan pemerintah.

Beliau mengecam Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, yang baru-baru ini menyertai pembangkang, berkata bekas perdana menteri itu patut belajar bagaimana menjadi ahli politik pembangkang.

“Dia melawan BN untuk kali pertama. Dia baru hendak bermula. Sekarang dia macam kami saja, tahu bagaimana rasanya bila tidak dibenarkan menyampaikan ucapan.”

Idris berkata PAS yang mempunyai pakatannya sendiri Gagasan Sejahtera, tidak terancam dengan PH.

Katanya, PAS selama ini bersendirian melawan BN jadi tidak ada alasan kenapa ia perlu rasa terancam dengan kehadiran PH.

Pemimpin PAS itu berkata PH mungkin tidak mendapat sokongan bukan Islam, terutama masyarakat Cina, tetapi ia berbeza dengan pengundi Melayu.

“Melayu tidak seperti pengundi Cina. Untuk bertanding di kerusi Melayu, anda perlu jentera yang kuat,” katanya.

Beliau juga memetik kenyataan penasihat Suaram Kua Kia Soong, yang berkata pengundi Melayu yang tidak menyokong Umno akan pergi pada PAS dan bukannya Dr Mahathir.

“Dr Mahathir ada ‘legasi’ – perkara yang dia buat ketika pegang jawatan – dan dia tidak boleh jawab.

“Apa berlaku kepada badan kehakiman pada zamannya? Dia bukan orangnya yang patut bercakap mengenai perubahan,” katanya menamakan beberapa skandal yang berlaku pada zaman pemerintahan Dr Mahathir seperti Perwaja Steel dan MAS.

Idris juga menolak kemungkinan PAS kembali kepada bekas sekutunya dalam PH. – 16 Julai, 2017.-Malaysian Insight

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE