Janji Pembangkang Hapuskan GST Bagai ‘Tidak Berpijak Di Bumi Nyata’ – Mustapa

KOTA BHARU, 18 Julai: Pakatan pembangkang hanya populis dalam menabur janji untuk semata-mata meraih sokongan pengundi terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata janji pembangkang untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai ‘tidak berpijak di bumi yang nyata’ kerana ia pasti akan menimbulkan masalah kepada pendapatan negara.
“Mereka janji nak hapuskan GST tapi realitinya kerajaan memerlukan wang untuk pembinaan infrastruktur serta perlu membayar gaji kepada kakitangan awam.

“Kalau nak hapuskan GST ini lebih kurang RM40 bilion akan terpadam dari hasil negara dan ini sudah pasti akan menimbulkan banyak masalah kepada pendapatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Sukan Bomba (SUKBOM) 2017, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tujuh janji Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan jika menang PRU-14, antaranya, menghapuskan GST dan menstabilkan harga minyak.

Mustapa, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, berkata janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang adalah tidak bertanggungjawab dan tidak realisitik serta amat mustahil untuk dilaksanakan.

“Mungkin ada rakyat yang akan terpengaruh tapi kita mahu rakyat Malaysia berfikir sedalam-dalamnya dan kita yakin mereka semakin matang dan akan membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Ditanya mengenai pelancaran fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, beliau berkata ia akan membawa perubahan besar dalam kaedah pengangkutan awam di negara ini.

“Yang penting kita nak galakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan beban rakyat untuk berulang-alik dari tempat kerja. Ini merupakan salah satu legasi Datuk Seri Najib dan banyak lagi yang akan dilaksanakan bagi mentransformasikan gaya hidup rakyat Malaysia,” katanya.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Kerajaan Melaka Bantah Pengajuran Jerrusalem’s Jubilee

  • TERKINI

  • Pos Popular

  • Random Posts

  • Meta

  • Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE