Didakwa Kerana Posting Palsu

KLANG, 17 Julai: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran gambar serta posting palsu membabitkan sebuah parti politik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di laman Facebook (FB) miliknya, tahun lepas.

Mohd Nazri Sulaiman, 51, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan FB secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran gambar serta posting berkenaan, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Gambar dan posting itu telah dibaca pada 13 Sept tahun lepas, kira-kira 8 malam di sebuah restoran di Jalan Pandamaran Jaya 99, Kampung Sijangkang di sini.

Mohd Nazri didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Surita menetapkan 22 Ogos ini depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia, Mohd Sophian Zakaria sementara Mohd Nazri diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE