Selepas Zakat Naik, Makcik Jual Rebung Dapat Motosikal

PETALING JAYA: Ingat lagi kisah seorang wanita warga emas yang menjual rebung di kaki lima kedai di Kangar terpaksa menolak motosikalnya yang rosak dari 12 tengah malam hingga 4 pagi untuk sampai ke rumah?

Wanita itu sekali lagi didatangi Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin untuk bertanya sama ada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) telah menaikkan jumlah bantuan menerusi zakat seperti yang disarankan.

“Maips dah naikkan bantuan bulanan makcik?,” tanya mufti yang lebih dikenali sebagai Dr Maza menerusi perbualannya bersama wanita itu yang dikongsikan di Facebooknya pada Ahad.

Wanita itu kemudian menjawab: “Ya. Hari itu pun depa (Maips) ada bagi duit tangan lagi masa pi (pergi) pejabat zakat.”

Ditanya mengenai jualan pada hari tersebut , wanita itu berkata: “RM70, tapi duit banyak habis baiki motosikal.”

Kunjungan Dr Maza kali ini tepat pada waktunya apabila beliau sedia membantu meringankan beban wanita itu menerusi pemberian motosikal baharu.

“InsyaAllah, Maips akan beri makcik motosikal baru. Cumanya, jangan bagi kat anak pula. Makcik sendiri guna,” kata mufti kepada wanita itu.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Maips, Mohd Nazim Mohd Noor sendiri membawa makcik itu ke kedai untuk membelikan motosikal baharu.

“Hari ini (Isnin) Alhamdulillah ustaz Nazim Mohd Noor sendiri bawa dia ke kedai beli motosikal baru. InsyaAllah urusan semua selesai. Semoga Allah merahmati Maips dan segala usahanya membantu fakir miskin khususnya yang sanggup berusaha dan tidak hanya meminta-minta,” kata Dr Maza.

Minggu lalu, kisah makcik ini mengundang kesedihan Mufti Perlis tetapi kagum dengan kesungguhan wanita itu yang berusaha tanpa mempunyai sikap meminta-minta.

Di atas kegigihan makcik tersebut, Dr Maza berpesan kepada wanita itu supaya pergi ke kaunter pejabat Maips untuk memohon zakat tambahan.

Wanita yang juga seorang ibu yang tinggal di pekan kecil Chuping itu dikatakan berniaga demi tiga anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).-mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Kerajaan Melaka Bantah Pengajuran Jerrusalem’s Jubilee

  • TERKINI

  • Pos Popular

  • Random Posts

  • Meta

  • Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE