Suspek Cabul Maut Kakak Mangsa Harap Polis Siasat

ALOR SETAR, 30 Mei: Kakak kepada suspek yang meninggal dunia selepas dipukul oleh orang awam kerana disyaki mencabul seorang wanita di bangunan menjual peralatan komputer dan telefon bimbit di Jalan Putra, di sini, meminta pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian adiknya itu.

Kakak mangsa yang dikenali sebagai Fizah berkata, kejadian ini tidak patut berlaku memandangkan Allahyarham adiknya (suspek) berusia 31 tahun tidak diberi peluang untuk membela diri dan dipukul sebegitu rupa.

“Sejak malam tadi lagi doktor memberitahu abang tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan kerana otaknya sudah mati.

“Kami sangat mengharapkan abang dapat kembali pulih bagi menerangkan kejadian sebenar, tetapi Allah lebih sayangkan abang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Fizah berkata, Allahyarham adalah anak ke empat dari tujuh adik beradik.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Zon Merah HSB tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu, seorang lelaki dipukul oleh orang awam selepas dipercayai cuba mencabul seorang wanita di dalam tandas premis tersebut.

Suspek bagaimanapun gagal melarikan diri selepas wanita terbabit menjerit dan meronta sebelum suspek ditahan dan dipukul oleh orang awam yang berada di premis itu.–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE