Sanjeevan Fitnah Polis

KUALA LUMPUR, 20 Apr: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memfitnah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook awal Januari lepas.

Sanjeevan, 32, mengaku tidak bersalah membuat tohmahan terhadap PDRM di laman Facebook Malaysian Crime Watch, di Tingkat 11, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada 8.30 pagi, 3 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam S. Prakash yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang turut didakwa di mahkamah lain atas kesalahan berbeza telah memberikan kerjasama kepada mahkamah.

“Tiada sebarang isu bagi tertuduh untuk tidak hadir ke mahkamah kerana dia telah memberi kerjasama yang baik sebelum ini. Jumlah jaminan sebanyak RM2,000 adalah memadai untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.

Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan itu.

Pada 27 Okt , Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman Facebook miliknya.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Sanjeevan pada 25 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu dengan memalsukan kelayakan akademiknya dan pada 16 Ogos lalu, Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki.

Dia juga dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang pada 12 Ogos lepas atas pertuduhan memeras ugut.

Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas dua pertuduhan iaitu menggaji warga asing tanpa pas dan memeras ugut pada 19 Julai lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE