Ronaldo Ledak Empat Gol, Dua Pemain Andorra Terima Padah

ronaldogolAVEIRO: Cristiano Ronaldo membuktikan kehebatannya apabila menyumbat empat gol bagi mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas Andorra pada perlawanan kelayakan Piala Dunia awal pagi Sabtu.

Ledakan gol itu dihasilkan Ronaldo selepas dua pemain pasukan lawan dilayangkan kad merah kerana menyepak bintang Protugal itu.

Portugal mempunyai baki lapan lagi perlawanan bagi Kumpulan B untuk memastikan tempat ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Empat gol yang dihasilkan itu melebarkan rekod jaringannya bersama Portugal kepada 65 dalam 134 penampilan.

Ronaldo, turun buat kali pertama bersama negaranya sejak kecederaan di final Euro 2016 di mana dia hanya menyaksikan dari luar padang Portugal menewaskan Perancis untuk bergelar juara Eropah Julai lalu.

Bintang berusia 31 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk menebus ketiadaannya di pentas antarabangsa, dengan jaringan pertama dilakukan hanya selepas 73 saat.

Dua minit kemudian Ronaldo sekali lagi menemui sasaran dan dua gol lagi ditambah selepas rehat.

“Saya tahu saya pemain penting dan sentiasa melakukan sebaik mungkin sejak memulakan karier antarabangsa.

“Saya meledak empat gol malam ini dan sudah tentu saya gembira dapat kembali beraksi selepas kecederaan di final Euro,” katanya.

Portugal akan kembali beraksi menentang Faroe Islands Isnin ini (awal pagi Selasa). – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE