Ong Kim Swee Jurulatih Harimau Malaya?

233806_pelatih-malaysia--ong-kim-swee--dalam-sesi-latihan-di-sea-games-2013_663_382

Prestasi baik sepanjang menjadi jurulatih sementara meletakkan Datuk Ong Kim Swee sebagai pilihan utama untuk dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, yang bakal diumum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Bagaimanapun, segalanya mampu berubah seandainya dua lagi calon akhir jurulatih, Bojan Hodak dan Robert Alberts berjaya melakukan pembentangan yang lebih meyakinkan dalam sesi temuduga terakhir.

Hari ini, ketiga-tiga calon akan menjalani proses penilaian menerusi sesi soal jawab daripada barisan panel seperti perancangan yang akan dilakukan jika menjawat jawatan serta idea-idea yang mampu tingkatkan prestasi skuad negara.

FAM juga telah menyediakan dua tugasan, di mana calon perlu menganalisis perlawanan dengan menjelaskan kelemahan, kekuatan, taktikal dan idea untuk mengatasi pihak lawan.

Temuduga tambahan diberikan kerana ketiga-tiga jurulatih ini telah melepasi penilai­an awal dari segi syarat pencapaian.

Jika dilihat ke­lebihan memihak kepada Kim Swee yang telah menggalas tanggungjawab jurulatih sementara dua kali iaitu ketika mengambil alih jawatan daripada Datuk K. Rajagopal pada 31 Disember, 2013 untuk kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Australia.

Terbaru adalah menggantikan Dollah Salleh yangmelepaskan jawatan selepas kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, September lalu.

Diberi tugas jurulatih sementara, Kim Swee menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila melakar kemenangan pertama buat Harimau Malaya di peringkat kompetitif dengan menundukkan Laos 3-1 dan rentak kecemerlang itu diteruskan dengan menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste yang juga kemenangan pertama dalam kelayakan Piala Dunia 2018.

Pencapaian baik juga ditunjukkan Kim Swee ketika tewas tipis 1-2 kepada Arab Saudi dan UAE, namun satu-satunya yang mungkin menjejaskan peluang Kim Swee adalah kekalahan 6-0 kepada Palestin di Amman, Jordan.

Bojan pula adalah jurulatih yang bertanggungjawab membawa Kelantan merangkul kejuaraan treble pada musim 2012, sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) 2014 dan membawa mereka muncul juara Liga Super.

Alberts juga memiliki pengalaman luas dalam bola sepak tempatan kerana pernah membimbing Kedah serta Sarawak, selain skuad bawah 19 tahun negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE