Warga Emas Hidup Dalam Sampah

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang hidup sebatang kara tinggal di kediaman di Taman Sentosa, di sini, yang dipenuhi dengan timbunan sampah sejak 30 tahun lalu dengan keadaan sekeliling agak kotor dan berbau.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, warga emas berumur 76 tahun berkenaan hidup bersendirian selepas enggan tinggal bersama anaknya manakala suaminya telah lama meninggal dunia.

Menurutnya, bagaimanapun selepas itu anak warga emas terbabit dikatakan tidak kembali semula menjenguk ibunya yang kini hidup dengan bantuan dan ihsan jiran berdekatan malah langsung tidak mengirim sebarang berita.

“Salah seorang jiran warga emas berkenaan menghubungi JKM kerana bersimpati dengan keadaannya. Bertindak daripada maklumat diterima, kita telah pergi ke rumahnya untuk tindakan lanjut.

“Keadaan warga emas berkenaan agak menyedihkan, dia kelihatan uzur selepas terbabit dalam kemalangan.

“Malah kediamannya pula dipenuhi pelbagai sampah sarap kerana wanita itu suka mengutip barangan buangan dan disimpan di rumahnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain suka mengutip dan mengumpul barangan terbuang di rumahnya, warga emas berkenaan turut memelihara beberapa ekor anjing sebagai peneman untuk menghilangkan sunyi kerana bersendirian.

“Kita turut menghantar warga emas terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, sementara itu tindakan susulan akan diambil apabila dia dibenarkan pulang.

“Disebabkan dia telah lama menyimpan pelbagai sampah dan barangan terpakai, rumahnya juga agak tidak selesa untuk warga emas sepertinya tinggal di situ.

“Keadaan rumah bukan sahaja kotor malah mempunyai bau yang kurang menyenangkan,” katanya.

Manayi berkata, pihaknya turut membantu membersihkan kediaman warga emas berkenaan.

“Pihak kami juga terpaksa meminta bantuan daripada pihak konsesi kutipan sampah untuk mengangkut semua barangan terbuang yang terlalu banyak, melebihi muatan sebuah lori.

“JKM memuji sikap jiran berhampiran kediaman warga emas terbabit yang mengambil berat dan menghulurkan bantuan termasuk memaklumkan masalah berkenaan kepada kami walaupun berlainan bangsa,” katanya.

-Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE