Melampau Lima Tahun Permis Tidak Ada Air

YAN – Bukan sahaja tidak diselenggara dengan baik, malah tandas juga didakwa tidak mempunyai bekalan air sejak lebih lima tahun lalu.

Demikian keluhan penyewa-penyewa premis di Bangunan Majlis Daerah Yan (MDY) berhadapan Balai Polis Guar Chempedak, di sini.

Kebanyakan penyewa yang ditemui turut menzahirkan rasa kecewa dengan masalah yang dialami kerana menyukarkan mereka untuk mengambil wuduk dan sebagainya.

Seorang penyewa premis, Azmi Osman, 44, berkata, aduan mengenai masalah itu sudah dipanjangkan kepada pihak MDY, namun belum ada tindakan penyelesaian.

“Sudah berkali-kali kami buat aduan, tetapi masalah ketiadaan air dan tandas tidak diselenggara tidak pernah selesai.

“Saya amat berharap masalah ini diatasi segera kerana tandas ini merupakan satu keperluan untuk penyewa premis dan pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang lagi penyewa premis, Mohamad Shabudin Teh, berkata, pernah beberapa kali anggota MDY mengadakan tinjauan di bangunan itu, namun masalah tidak juga selesai.

“Keadaan tandas dan bangunan ini seolah-olah terabai. Sehinggakan kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mencari bekalan air.

“Ini suatu kesulitan pada kami kerana nak ambil wuduk pun susah,” katanya.

Bagi Natrah Ahmad, 39, bangunan dan tandas awam itu harus diselenggara dengan baik supaya menjadi tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis perniagaan itu.

“Sudah tiga tahun saya menyewa di sini, tetapi masalah ketiadaan bekalan air tidak pernah selesai. Tambahan pula keadaan lantai yang penuh dengan tahi burung juga tidak dibersihkan,” katanya.

Difahamkan, lebih 100 pengunjung sering berurusan di bangunan tersebut setiap hari.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui turut menzahirkan rasa kurang senang dengan keadaan tandas awam itu.

Seorang pengunjung, Mariam Omar, 55, berkata, masalah di tandas awam itu amat memalukan, terutama kepada pelancong luar.

“Saya selalu datang ke sini. Tetapi masalah tandas awam tidak diselenggara dan tiada air sudah lama berlarutan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Shafiza Ramlee, 32, berkata, tandas awam merupakan suatu keperluan bagi orang ramai dan perlu dijaga dengan baik.

“Kalau tiada air, memang susahlah kami nak berurusan di sini. Kadang-kadang saya terpaksa bawa anak ke tandas stesen minyak berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Abd Rashid Othman berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah tersebut.

“Sebenarnya masalah yang berlaku di premis ini hanyalah disebabkan oleh tekanan air rendah.

“Kita sedang mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membeli pam yang baru.

“Insya-ALLAH, kita akan cuba selesaikan masalah itu pada tahun ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE